Monday, May 18, 2009

:: Jangan Hidup Sambil Mati ::

FIKIR MATI AKAN SENANG ATAU SUSAH
Inilah pertentangan antara keyakinan seorang bukan Islam dan seorang mukmin. Idea bukan Islam sering menjauhkan seseorang dari berfikir tentang kematian, kerana sangkanya ia hanya akan melambat kemajuan diri seseorang. Malang, kepercayaan ini semakin meresap dalam diri kebanyakkan umat Islam, khususnya mereka yang sedang mabuk dilambung oleh ketamakan wang, pangkat dan harta. Kematian semakin dilupai, membawa sama kelupaan terhadap redha dan cinta Allah dan Rasul, turut lupa dan lalai terhadap larangan, tegahan dan arahan ilahi.

Kejauhan daripada Allah swt semakin terbukti apabila disebut berkenaan hukum perniagaan, mereka melenting dan tergesa-gesa menempelak :-
"kalau asyik haram, haram, haram aja, sampai bila kita nak maju!!, bukankah Islam suruh kita maju!"
Ini idea jahiliyah, yang sepatutnya hanya tersemat kukuh dalam hati dan minda seseorang yang sepatutnya berpakaian ‘kafir' bukan dari seseorang bernama Muslim. Moga kita dijauhi dari minda buruk ini. Islam menyuruh kita maju hati dengan kekayaan yang halal.

Allah swt berfirman :-

قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنسَى
Ertinya : "Allah berfirman: ""Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan" ( Toha : 126 )

ZIKIRAN KEMATIAN YANG MENGHIDUP

Ya Allah, NabiMu menangis deras mengingatkan nasib kami yang lemah ini. Ingin sahaja Nabi berdoa kepada Allah agar dapat diperdengarkan bunyi manusia yang sedang diazab di kubur.
Catatan Imam Muslim menyebutkan kalam Rasulullah s.a.w :-

إن هذه الأمة تبتلى في قبورها ، فلولا أن لا تدافنوا ؛ لدعوت الله أن يسمعكم من عذاب القبر الذي أسمع منه
Ertinya : Sesungguhnya umat ini akan diazab di dalam kubur mereka, nescaya jika sekiranya ia tidak sampai terlalu menakutkan kamu (sehingga takut untuk dikafankan dan dikebumikan), sudah tentu akan aku berdoa kepada Allah swt agar diperdengarkan bunyian azab kubur sebagaimana yang aku dengari ini" (Hadis riwayat Muslim)

Itulah salah satu mu'jizat Nabi s.a.w yang diizinkan oleh Allah untuk mendengari bunyian pukulan azab seseorang hamba. Ingin sahaja Nabi berkongsi kesedaran itu dengan kita..

Ya dengan kita, untuk apa ?
Agar kita tersedar dari dodoian indah dunia dan harta sementara yang melupakan dari tugas dan tanggungjawab hakiki di muka bumi sementara ini.
Azab atau nikmat di barzakh akan kekal sehingga kita dibangkitkan, jika ia enak, akan enaklah sepanjang penungguan dan selepasnya, jika pedih akan pedih jualah perjalanannya bermula dari diletaknya ia di ruang kecil lagi sempit yang bernama liang lahad.

Nabi bersabda :-

إن أحدكم إذا مات عرض عليه مقعده بالغداة والعشي إن كان من أهل الجنة فمن أهل الجنة وإن كان من أهل النار فمن أهل النار يقال هذا مقعدك حتى يبعثك الله إليه يوم القيامة

Ertinya : Apabila seorang kamu telah mati, dibentangkan tempat tinggalnya di pagi dan petang hari, sekiranya ia dari kalangan ahli syurga, maka ia akan menikmati tempat tinggal seperti ahli syurga, sekiranya ia dari kalangan ahli neraka, nescaya ia akan merasakan tempat duduk ahli neraka dan dikatakan kepada mereka : Inilah tempat tinggal kamu sehinggalah kamu akan dibangkitkan di hari kiamat kelak (Riwayat Bukhari dan Muslim)

BILAKAH ?
Wahai diriku dan teman-teman, apakah kehidupan kita hari ini sudah akan melayakkan kita untuk disenaraikan sebagai penghuni neraka atau syurga?
Sedarkah kita, kematian sentiasa mengintai dan malang bagi diri yang masih sering melupakannya, kehidupan dan hartanya disirami unsur haram lagi terlarang. Tubuhnya disaluti pekakas haram, pergerakannya sentiasa melanggar sempadan kemurkaan Allah dan dukacita Rasul. Keluarga ditadbir mengikut telunjuk nafsu.
Adakah sudah kita tempah ruangan barzakh yang luas sebagaimana kita tempahi kereta mewah idaman kalbu?
Bilakah lagi mahu tiba rasa ghairah dan kesungguhan untuk pahala besar sebagaimana rakusnya kita dalam mendapatkan kontrak dan tender besar?
Apakah kita sudah mampu tersenyum puas kerana usaha kita mentaati Allah, sebagaimana mereka yang tersenyum bangga memasuki rumah baru dibelinya yang luas lagi indah, bagaimana nasib rumah kuburnya kelak?
Jikalau kita masih belum, mengapa harus kita berlengah lagi?. Masih belum sedarkah dari lena dunia dan isinya?

Kematian seharusnya menjadi satu waktu yang dinanti kerana ia permulaan nikmat hakiki, bukan ditakuti dan dirisaukan. Namun jangan sampai enggan berubat apabila sakit, berubat adalah tuntutan Islam yang ditegaskan oleh baginda Nabi s.a.w.
Bilakah kesediaan itu akan tiba wahai diri, bila lagi?

Ya Allah, kami berdoa agar kami tidak tergolong dalam kategori mereka yang melupaimu, berikan kami sekelumit rasa cinta dan kasih kepadaMu, moga ia mampu mencetus getaran hati yang merubah diri lalu menyelamatkan kami dari azabMu. Jadikan kematian sebagai satu garisan yang tidak digeruni kami, tetapi ditunggu oleh kami dek kerana keghairahan untuk bertemuMu dan RasulMu yang membawa sinar dan rahmat kepada seluruh alam.
Memperbanyak fikir berkenaan mati akan menghidupkan seseorang, kegagalan berifkir tentangnya akan mematikannya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
17 Rabiul Thani 1430 H
13 April 2009

1 comments:

Abuuwais May 19, 2009 at 12:25 PM  

Bagus sekali artikel ini...harap dijadikan bahan razkirah dalam liqa'

About This Blog

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP