Tuesday, December 16, 2008

:: Manusia wajar contohi perpaduan semut ::

Tabiat haiwan kecil seperti lebah dan labah-labah disebut dalam al-Quran sebagai pengajaran

KITA berasa terpegun (tiba-tiba terhenti dan terdiam) dan takjub melihat sarang semut di atas pokok yang dibuat daripada daun. Bagaimana makhluk kecil boleh membuat mahligai yang besar dan kukuh. Bagaimana semut boleh membina sarang dalam tanah yang lengkap dengan lorong dan bilik yang bertingkat-tingkat serta sebahagian bilik dipenuhi dengan bekalan makanan dari biji-bijian untuk musim sejuk.

Semut adalah antara satu nama surah dalam al-Quran, Surah al-Naml, iaitu surah ke-27 pada juz ke-19.

Dalam surah ini, tersembunyi kisah sejarah era informasi dan teknologi (IT) canggih masa lalu yang jika kita kaji, ada kemungkinan kecanggihan IT sekarang mungkin tidak seberapa. Nabi Sulaiman AS menggunakan burung belatuk sebagai satelit untuk mengetahui keadaan dan berita di sesuatu tempat. (Ayat 20-26) Pada masa itu sebuah singgahsana raja telah berpindah dari satu tempat yang jauh hanya dalam sekelip mata. (Ayat 40) Pada masa itu tentera jin di bawah arahan manusia.

(Ayat 39) Berkaitan dengan perihal semut, surah ini mengkisahkan maksudnya: "(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Lembah Semut, berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.

Maka tersenyum Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu-bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau reda; dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang salih." (Ayat 18-19).

Dalam ayat 18 di atas difirmankan 'qalat namlatun', yang bermaksud "Berkatalah seekor semut betina. Dalam kajian sains kebelakangan ini mendapati bahawa pemimpin semut adalah betina dan bukan jantan. Ini adalah sama dengan kerajaan lebah yang dipimpin lebah betina" (Surah al-Nahl: 68-69).

Dari nama haiwan yang dijadikan nama surah dalam al-Quran, ada tiga nama haiwan kecil dan lemah, iaitu al-Nahl (Lebah) surah ke-16; al-Naml (Semut); dan al-Ankabut (Labah-labah) surah ke-29.

Semua haiwan ini dijadikan nama surah kerana ada nilai pengajaran sejagat masing-masing. Semut dengan perpaduan; lebah dengan manfaat dan labah-labah dengan sarang reput yang dijadikan kiasan dalam al-Quran terhadap orang kafir.

Perpaduan semut ketika mencari makanan patut kita ambil iktibar dengan mengkaji satu koloni semut. Kelakuan paling menarik mengenai koloni ialah cara serangga yang dianggap hampir buta berjaya menggunakan jalan terpendek bagi perjalanan antara sumber makanan dan sarang.

Satu sifat semula jadi semut yang perlu diketahui ialah menggunakan feromon, sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh setiap semut ketika bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Feromon ini kemudian digunakan oleh semut lain sebagai panduan ketika menggunakan laluan itu.

Jika seekor semut terpaksa berdepan beberapa laluan, satu laluan dengan kesan feromon paling tinggi akan menjadi pilihan. Ini bermakna semut menggunakan feromon sebagai alat pelaksanaan perpaduan dalam aspek saling menolong. Dalam perkataan lain, semut selalu mengingati rakan-rakannya.

Haiwan ini memiliki kekuatan luar biasa untuk merealisasikan tekad meraih apa yang diinginkan. Semut tidak pernah bosan dan putus asa. Semut akan berusaha secara berulang-ulang dan terus menerus hingga berjaya.

Semut merangkak di sebuah pokok, lalu jatuh dan kemudian bangun lagi. Berusaha untuk merangkak lagi ke atas pokok, lalu terjatuh lagi. Begitulah yang terjadi berulang-ulang, namun terus berusaha hingga berhasil naik ke atas pokok yang diinginkan dan mendapat apa yang dicari tanpa berasa lelah dan bosan.

Jika jalan yang dilalui terhalang, semut berusaha melalui dari arah kanan dan kiri. Jika tetap bermasalah untuk maju ke depan, ia berhenti sebentar dan kemudian kembali lagi dengan tenaga yang jauh lebih kuat.

Mungkin semut akan menjauhi jalan pertama yang sulit kerana ada beberapa rintangan, namun tetap kembali berjalan menuju arah yang sama dengan mencari jalan lain hingga sampai ke matlamat akhirnya.

Jika seekor semut menemui makanan yang tidak dapat dibawa sendiri, haiwan ini memberi tahu temannya untuk membantu membawa makanan itu dan makan bersama-sama. Jika seekor semut bertemu rakannya, mereka pasti bertegur sapa walaupun entah dikenali atau tidak. Ini membuktikan kekuatan perpaduan semut.

Dikisahkan ketika Nabi Sulaiman AS sedang berjalan, baginda melihat seekor semut membawa sebiji kurma yang besar dan berat yang jauh melebihi tubuh semut itu. Lalu Nabi Sulaiman yang mengerti bahasa binatang bertanya: "Untuk apa kurma yang kau bawa itu?".

"Ini adalah kurma yang Allah SWT berikan kepadaku sebagai makanan selama satu tahun," jawab semut. Mendengar jawapan, baginda segera kembali ke istana dan mengambil sebiji kurma yang lebih besar serta sebuah botol.

Setelah kurma itu dibelah menjadi dua bahagian, baginda berkata: "Wahai semut, silakan masuk ke dalam botol ini, aku telah membahagi dua kurma ini dan aku berikan separuh kepadamu sebagai makananmu selama satu tahun. Tahun depan aku akan datang lagi untuk melihat keadaanmu."

Setahun kemudian, Nabi Sulaiman kembali melihat semut itu. Baginda tersenyum apabila melihat kurma yang diberikan tidak banyak berkurang.

Baginda dengan bijak bertanya: "Wahai semut, mengapa engkau tidak menghabiskan kurma itu?" Semut menjawab: "Selama ini, aku hanya menghisap airnya dan aku banyak berpuasa. Selama ini, Allah SWT yang memberikan kepadaku sebutir kurma setiap tahun, tetapi kali ini engkau memberiku separuh buah kurma. Aku khuatir tahun depan, engkau tidak memberiku kurma lagi kerana engkau bukan Allah pemberi rezeki."

Mendengar ungkapan semut itu, Nabi Sulaiman AS tersenyum dan berkata: "Engkau hai semut, selain makhluk yang giat bekerja dan taat, pandai bersyukur atas rezeki yang engkau dapat dari Allah dan pula engkau sangat yakin bahawa Allah akan menjamin rezekimu."

Perpaduan semut dalam semua aspek seperti diulas di atas membawa kejayaan kepada haiwan ini. Walaupun makhluk kecil dan lemah, semut boleh membuat mahligai yang besar, kuat dan kukuh. Belajarlah wahai manusia!

1 comments:

Haji Jim Nun al Urduni ( ABU LUQMAN ) December 17, 2008 at 1:11 AM  

السـَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاَتُهُ

Salam Persahabatan
Tahniah, info yang cukup menarik dan bermaklumat
Sahabat yang dimuliakan Allah,
Jika ada kelapangan masa, singgah-singgah sebentar ke blog saya .
Sekian, terima kasih

About This Blog

Waktu Solat

  © Blogger template Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP